Thursday, July 22, 2010

PERTANDINGAN BLOG 2010 - Entri 8

Tata Tertib Melayu
berkaitan dengan makanan

Dalam adat Melayu selain pantang larang terdapat pula adat dan tatatertib yang berkaitan dengan makan. Antara adat dan tatatertib tersebut adalah seperti berikut:

  1. Ketika berkunjung ke rumah orang, apabila tuan menghidangkan makanan atau minuman, adalah tidak manolaknya. Jika kenyang sekalipun kita hendaklah memakan sedikit hidangan yang disajikan itu.
  2. Setelah makanan dihidangkan, pastikan orang yang lebih tua duduk dahulu kemudian baru diikuti oleh orang muda pula mengambil tempat masing-masing.
  3. Anak gadis pula dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua.
  4. Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah diikuti oleh orang muda. Adalah tidak sopan jika membiarkan orang yang lebih tua makan sisa orang muda.
  5. Semasa mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.
  6. Ketika makan pula janganlah bercakap-cakap. Lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan.
  7. Jangan makan berbunyi, umpamanya menghirup minuman atau mengunyah makanan.
  8. Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkehak atau berludah.
  9. Jangan terlalu kenyang. Makanlah setakat mengenyangkan atau mengalas perut sahaja.
  10. Jika selesai makan terlebih dahulu jangan sekali-kali mengangkat pinggan dan meninggalkan orang yang sedang makan. Seelok-eloknya tunggu dan pastikan semua orang sudah selesai makan barulah bangun.
Diatas merupakan beberapa tata tertib adat Melayu yang berkenaan dengan makanan. Pantang larang (yang ada di entri saya sebelumnya) dan tata tertib ini diadakan bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang kurang sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu lagi. Maka itu diadakan beberapa pantang larang supaya ia dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang.

No comments:

Post a Comment